Friday, July 25, 2008

Jurnal 2 (POSITIONING)

Artikel yang telah saya pilih adalah artikel yang ditulis oleh Mosad Zineldin dalam International Journal of Bank Marketing, keluaran 1996. Artikel ini bertajuk "BANK STRATEGIC POSITIONING AND SOME DETERMINANTS OF BANK SELECTION"
PENGENALAN
Kita sering membicarakan tentang produk-produk yang bersaing dalam sesuatu segmen pasaran. pasaran. Semuanya adalah tentang bagaimana produk tersebut meletakkan dirinya sebaris dengan produk produk lain atau bagamana produk tersebut menonjolkan diri lebih daripada produk-produk lain di pasaran. Jika sebelum ini kita sering menyebut tentang Milo, Nike, barangan kosmetik atau bahan cucian yang sering mencuba untuk menonjolkan diri masing-masing, namun dalam artikel jurnal yang telah saya baca ini, ia adalah berkaitan tentang bagaimana bank-bank bersaing antara satu sama lain untuk mendapat tempat yang tertinggi dalam minda khalayaknya.
ULASAN ARTIKEL
Kini, bank-bank sendiri telah menyedari betapa pentingnya mereka perlu untuk menghadapi pesaing yang semakin agresif menawan khalayak. Mereka terpaksa mencari satu alternatif baru untuk bersaing. Tidak ada bank yang boleh memasarkan produk atau perkhidmatan terbaik untuk semua pelanggan dengan mudah kecuali menjalankan strategi tersendiri untuk menghadapi pesaing. Meletakkan diri dalam minda khalayak memerlukan bank tersebut mempunyai reputasi yang baik. Reputasi dalam artikel ini bermaksud :
  1. Mencipta kepuasan pelanggan dan memberi sebanyak mungkin manfaat daripada perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan.
  2. Menggunakan teknologi sebagai asas dalam menawarkan perkhidmatan.
  3. Menyediakan kakitangan yang berbakat dan boleh meyakinkan pelanggan.
  4. Menggunakan teknologi dan perkhidmatan yang hebat untuk membina hubungan yang lebih luas dan berterusan dengan pelanggan.

Semua reputasi tersebut bukan hanya atas nama sahaja, kerana ia sangat penting kepada pelanggan dan ia berkaitan dengan reputasi perkhidmatan, harga dan hubungan bank dengan pelanggan. Penonjolan diri merupakan satu usaha untuk membezakan diri dengan orang pihak lain dalam sesuatu segmen pasaran. Ia juga adalah satu usaha untuk memiliki satu kedudukan yang jelas dan unik pada pandangan khalayak dalam sesuatu pasaran. Penonjolan juga merupakan proses membina imej dan identiti tersendiri tanpa dibanding-bandingkan dengan pihak lain.

Membina perbezaan dengan pesaing.

Dalam era dimana persaingan sangat kuat ini, keperluan membezakan diri dengan pesaing sangat penting. Kunci kepada kejayaan untuk mendapatkan tempat di hati pelanggan adalah dengan memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan. Menurut Urban & Star (1991), untuk menjadi yang terbaik, beberapa perkara perlu diketahui : 1. Aspek mana yang digunakan oleh pelanggan untuk menilai persaingan dalam pasaran 2. Apa tujuan setiap aspek yang dinilai tersebut dalam proses membuat keputusan 3. Bagaimana diri dibandingkan dengan pesaing merujuk kepada aspek tertentu. 4. Bagaimana pelanggan membuat pilihan dari pelbagai maklumat yang mereka tahu. Dalam usaha meletakkan diri dalam minda pelanggan sekurang-kurang nya empat strategi berikut akan digunakan :

  1. Menonjolkan organisasi (Tempatan, domestik, antarabangsa atau peringkat global)
  2. Menonjolkan perkhidmatan (sebagai perbankan korporat, perbankan pelanggan, perbankan khusus atau perbankan pelaburan).
  3. Menonjolkan sistem yang digunakan untuk melebarkan perkhidmatan (Automated Teller Machines Installaton – ATM, Credit cards, Point Of Sales – POS).
  4. Menawarkan sebanyak mungkin faedah daripada perkhidmatan kepada pelanggan.
KESIMPULAN
Dalam industri perbankan pada hari ini, tawaran dan perkhidmatan adalah pelbagai. Setiap bank harus tahu untuk membina dan menjaga kedudukan masing-masing. Asas strategi baru perlu dicari dari semasa ke semasa untuk menghadapi persaingan. Mereka perlu mengkaji peluang-peluang dalam sesuatu segmen pasaran. Usaha menonjolkan identiti tersendiri adalah salah satu cara untuk membezakan diri dengan pesaing. Dalam artikel ini juga telah dibincangkan mengenai kombinasi pendekatan yang sangat penting untuk mencari kedudukan yang baik dan isu yang kompetitif. Daripada kajian, pelanggan melihat bank daripada 5 aspek utama iaitu kualiti, keupayaan dan persaingan dalam harga, sistem yang digunakan dalam melebarkan perkhidmatan, promosi, reputasi dan pembezaan.

Tuesday, July 22, 2008

Jurnal 1 (TARGET MARKET)

Artikel yang telah saya pilih adalah artikel yang ditulis oleh Amit K. Ghosh dalam Journal Of Product & Brand Management, keluaran 1997. Artikel ini bertajuk "TARGETED PROMOTIONS USING SCANNER PANEL DATA".
PENGENALAN
Semasa saya mengambil Kursus CCT1043: Asas Periklanan dalam semester 2 dahulu, soalan pertama yang ditanya oleh pensyarah adalah definisi kepada pengiklanan. Pensyarah telah memberi 9 patah perkataan untuk disusun menjadi satu ayat yang mewakili definisi pengiklanan tersebut. Keseronokkan menyusun perkataan tersebut membuatkan saya mengingati definisi pengiklanan dengan mudah dan akhirnya ia membawa kesan yang mendalam pada diri saya apabila saya mengambil keputusan untuk mengkhusus dalam bidang PERIKLANAN. Pengiklanan merupakan satu komunikasi bukan peribadi yang berbayar mengenai pelbagai maklumat tentang keluaran, perkhidmatan dan idea yang ditaja melalui media massa serta bersifat mempengaruhi tingkah laku pengguna. Pengiklanan berbeza dengan promosi jualan. Promosi jualan merujuk kepada penawaran insentif jangka pendek untuk menarik minat pengguna terhadap sesuatu keluaran. Contoh promosi jualan ialah kupon, rebat, sampel, pemberian mata ganjaran ke atas pembelian, diskaun jualan, hadiah percuma dan pertandingan.

ULASAN ARTIKEL

Menurut Amit K.Ghosh, 1997 dalam artikel jurnal yang bertajuk “TARGETED PROMOTIONS USING SCANNER PANEL DATA”, peruntukan perbelanjaan yang lebih menguntungkan antara pengiklanan dan promosi jualan sering menjadi isu dalam pengurusan kaedah promosi. Justeru dalam artikel tersebut, beliau telah mencadangkan satu kaedah berasaskan teknologi iaitu PENGIMBAS DATA ELEKTRONIK yang boleh digunakan bagi menganalisis data yang konsisten untuk mengukur keberkesanan promosi jualan (Eskin, 1989). Saya telah mengumpul beberapa keputusan kajian yang pernah dijalankan yang terdapat dalam artikel tersebut :

  1. (King dan Tobolski, 1994: Lukeman, 1995). Promosi jualan lebih berkesan dan dapat dilihat dalam jangka masa yang pendek. Namun ia sangat membimbangkan pada masa yang akan datang terhadap prestasi jenama. Dalam kajian lain: Peningkatan promosi jualan seperti kupon telah mengurangkan keuntungan jenama.
  2. (Light, 1993). Satu kajian kes oleh Colition untuk ekuiti jenama (Sumber : Nielsen) : Lebih 140 jenama dalam 12 kategori produk yang terdapat dalam tempoh 3 tahun disimpulkan bahawa telah mengalami kemerosotan pada tahun 1990 an. Hal ini disebabkan oleh promosi jualan yang terlalu tinggi.

Melalui artikel tersebut, saya yakin penulis menggalakkan pengeluar menganalisis segmentasi pasaran untuk mengetahui sasaran pasaran mereka. Melalui pengimbas data elektronik yang dicadangkan oleh penulis, corak pembelian pengguna dapat didedahkan. Hal ini sangat penting dalam segmentasi pasaran. Penulis juga telah memetik pelbagai kajian yang pernah dijalankan ke atas ciri-ciri tingkah laku pengguna. Saya telah meringkaskan semua kajian tersebut dan mendapati terdapat tiga ciri-ciri utama dalam tingkah laku pengguna yang dikenalpasti, iaitu:

  1. Nonusers of brand. Mereka tergolong dalam pengguna yang tidak akan membeli sesuatu barangan. Barang tersebut tidak mempunyai kepentingan kepada mereka. Namun, mereka berpotensi untuk membeli hanya jika mereka membeli untuk pengguna lain. (Amit K.Ghosh, 1997)
  2. Loyals buyers. Mereka mempunyai kepercayaan positif terhadap jenama dan seringkali membeli jenama yang sama. Mereka selesa dengan jenama tersebut dan tidak bercadang untuk memilih jenama lain. (Brown, 1952 dalam artikel Amit K.Ghosh, 1997)
  3. Brand switcher. Mereka berkemungkinan besar beralih kepada jenama lain. Hal ini disebabkan oleh pengalaman menggunakan sesuatu jenama dan pengetahuan mereka terhadap jenama tersebut. Mereka akan menimbangkan beberapa jenama lain dan akan sentiasa mencari maklumat mengenai sesuatu jenama. (Brown, 1952 dalam artikel Amit K.Ghosh, 1997)

KESIMPULAN Promosi jualan dan pengiklanan perlu berjalan seiring untuk meningkatkan prestasi jenama. Pengiklanan berperanan membina dan mengekalkan kesetiaan pengguna terhadap sesuatu jenama. Manakala promosi jualan berperanan membantu menambahkan potensi jualan untuk jenama tersebut. Jika pengiklanan dan promosi jualan tidak berjalan seiring, maka apabila pengiklanan membina dan mengekalkan kesetiaan pengguna terhadap sesuatu jenama, promosi jualan pula akan menjatuhkan imej jenama tersebut.

Sumber artikel:

KENALI SIAPA SAYA?

NAMA :
Ifarozila Tangah
TARIKH LAHIR :
7 Julai 1986
TEMPAT LAHIR :
Kg Peladok, Kota belud Sabah
TEMPAT TINGGAL :
Kg Liang, Kota belud Sabah
AHLI KELUARGA :
8 orang adik beradik (anak kelima) dan Ibu bapa
MINAT :
Saya sukakan penulisan. Sejak dari sekolah rendah lagi, saya minat menulis. Pada pandangan saya, menulis itu adalah satu hobi yang sangat kreatif. Mengapa tidak? Apabila kita menulis, kita akan mula berimaginasi. Imaginasi itulah yang akan mengasah minda kita untuk menjadi seorang yang lebih kreatif. Sehingga kini, saya telah mencipta tiga buah lagu, 10 buah puisi dan 6 buah cerpen.